2,998 kenderaan keluar Langkawi sempena Aidilfitri

LANGKAWI: Sebanyak 2,998 kenderaan dibawa keluar dari pulau ini ke tanah besar oleh pemiliknya yang pulang bercuti sempena Aidilfitri menerusi Dermaga Tanjung Lembong (DTL) di sini.

Pengerusi Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port), Dr Hezri Adnan, berkata jumlah kenderaan yang dibawa keluar ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis itu meningkat sebanyak 1.63 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, kenderaan itu dibawa keluar menerusi enam syarikat pengendali kargo dan perkhidmatan feri penumpang/kenderaan selama sepuluh hari waktu puncak mulai Ahad lalu dan berakhir Selasa ini.

“Sepanjang tempoh itu sebanyak 2,998 kenderaan dibawa keluar ke tanah besar dan jumlah itu meningkat berbanding 2,950 pada tahun lalu.,” katanya ketika ditemui pada Program Selamat Pulang Perantau (PSPP) di DTL di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Langkawi Port, Muhd Nasir Abdul Aziz.

Pada majlis sama, Dr Hezri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengetuai kakitangan Langkawi Port mengedarkan 100 cenderahati kepada pemandu kereta yang melalui kawasan pemeriksaan kastam di DTL, di sini.

Tinjauan mendapati lebih 350 pemilik kenderaan membanjiri dermaga itu seawal jam 7.30 pagi bagi menguruskan penghantaran kenderaan masing-masing untuk pulang bercuti.

Sementara itu, Muhd Nasir berkata, PSPP yang diadakan sejak lima tahun lalu bertujuan menambahkan keceriaan kepada warga Langkawi yang mahu keluar ke tanah besar.

“Ia juga sebagai penghargaan kepada pemandu kereta yang memberi kerjasama baik ketika berurusan dengan Langkawi Port.

“Kami juga bakal menaik taraf kemudahan jeti dengan menambah dua lagi labuhan untuk kemudahan feri dan kargo berlabuh menjelang awal tahun hadapan,” katanya.

Comments for this post are closed.